Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Sempurna! Perfect! Perfecto!
Pernahkah anda berjumpa dengan seorang insan yang sempurna? Tanya pada diri anda sendiri. Pernahkah? Have you? Mungkin anda menjawab ya dan mungkin juga anda menjawab tidak.
Tapi jawapan saya pada soalan tu adalah tak pernah. Apalah saya ni kan, saya yang tanya, saya jugak yang jawab. Takpe lah. Kalau komputer ni yang jawab, alamatnya saya lari dulu, hehee.. Oklah cik Safiah, toksah melalut lagi. Balik pada topik asal ya.
Saya rasa anda sume memang tau. Saya pun tau. No one's perfect termasuklah saya ni. Setiap orang tak boleh lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Tak kiralah yang budak kecik ke, orang muda ke, pak cik mak cik ke, hatta pak haji pun ada melakukan kesilapan.
Namun, terkadang ada juga manusia yang menganggap dirinya terlalu sempurna serba serbi. Sibuk mencari kesalahan orang dan melupakan kekurangan diri sendiri. Terlalu asyik memberi peringatan pada orang lain tetapi lupa pada diri sendiri.
'Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca Kitab? Tidakkah kamu mengerti?'
(Surah Al-Baqarah 2 : 44)
Nauzubillah min zalik.... Harap-harap kita tak tergolong dalam golongan yang disebutkan ini. Lumrahnya, manusia ni memang tidak sempurna. Imannya ada naik turun. Lebih-lebih lagi kita manusia biasa ni. Tapi itu tak bermakna kita boleh gunakan alasan ni untuk terus-menerus melakukan kesilapan.
"....maafkan aku. Biasalah, orang muda. Berdarah panas. Aku kan tak sempurna.."
"...alah, mak. Buat apa mak bebelkan orang. Orang bukan buat salah besar pun. Biasalah, no one's perfectlah, mak.."
"....buat apa susahkan diri kau? Enjoy jelah. Nanti-nanti boleh taubat kan...."
Astaghfirullah.....
Memanglah takde orang yang sempurna dalam dunia ni, tapi kita seharusnya berusaha ke arah kesempurnaan. Fathi Yakan ada menyebut dalam bukunya, 'Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam':
Sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Kebaikan itu berlaku dengan taufiq dan inayah dari Allah. Manakala kejahatan itu bukanlah paksaan dari Allah tetapi termasuk dalam batasan keizinan dan kehendak-Nya.
'Setiap orang bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya.'
(Surah Al-Muddassir 74 : 38)
Jadi, macam mana ya nak menghindarkan diri daripada kesilapan dan kesalahan? Nah, jawapannya kembali semula kepada ajaran Al-Quran dan as-Sunnah. Tapi, nak mula dari mana ya?
Cuba renung kembali.. Perkara paling basic bagi seseorang Muslim itu adalah mengucap dua kalimah syahadah. Mungkin ada sesetengah orang yang memandang enteng kalimah agung ini.
"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah"
Teringat semula waktu sesi usrah di Kolej Matrikulasi Perak. Pada waktu itu, kami membincangkan tentang rukun Islam. Percaya tak kalau saya cakap, waktu sejam itu kami hanya membincangkan tentang kalimah syahadah sahaja.
Banyak perkara yang telah dikupas oleh ahli usrah. Tertarik saya pada cerita seorang tokoh yang telah diceritakan oleh sahabat saya. Cerita tentang Saad bin Abi Waqas. Betapa teguhnya dia berpegang pada kalimah syahadah itu sampaikan tidak tergugat dengan ugutan ibunya sendiri.
Sebenarnya, kalimah syahadah yang selalu kita ucapkan dalam solat itu bukanlah sesuatu yang main-main. Bersama-sama kalimah itu, ada tanggungjawab yang tergalas. Ada amanah yang perlu ditunaikan. Setiap apa yang diperintahkan-Nya itulah kewajipan kita.
Sebelum ni, saya sendiri pun tidak sedar bahawa betapa alpanya saya dalam soal ni. Benda yang begitu basic pun saya tidak begitu kuasai. Alhamdulillah, syukur kerana masih ada yang mengingatkan. Itu tandanya Allah masih sayangkan kita.
Benar,ia bukan cakap kosong. Bukan juga sekadar ucapan di bibir sahaja. Tapi disematkan dalam hati dan diekspresikan melalui amalan serta peribadi. Sedarlah, di bahumu ada kewajipan yang mesti dilaksanakan. Jangan leka dengan dunia yang sementara.
Sekiranya kita betul-betul berpegang teguh dengan kalimah ni, mestilah kita malu nak buat maksiat kan? Sebab kita tahu Allah itu Maha Mengetahui apa yang kita lakukan dan apa yang ada dalam hati kita jugak.
Sebab kalimah ini juga adalah 'kontrak' antara kita dengan Allah. Terma dan syaratnya tidak merugikan kita malah memberi profit pada kita. Mungkin kita tak nampak profitnya sekarang, tapi bila kita di 'sana', insyaAllah kita akan dapat menikmatinya.
Jadi, jika melanggar terma dan syarat yang diberikan, maka kitalah yang kena menanggung 'ganti rugi'. It's as simple as that. If you breach the contract, you'll have to pay.
Jadi, akan adakah lagi alasan untuk menjustifikasi kesilapan kita? Sekiranya ditakdirkan kita akan dijemput Ilahi saat ini, adakah kita sanggup berhadapan dengan malaikat Munkar dan Nakir? Bolehkah kita menjawab soalan yang memang sudah bocor sejak di dunia lagi? Fikir-fikirkanlah...
Renung-renungkan dan selamat beramal....