Selasa, 2 Ogos 2011

Awak, saya jatuh cintalah.....

"Awak, mulai hari ni kita putus ya."

" Haa?? Apa awak cakap ni? Awak main-main, kan?"

Diam sebentar. Nafas Imran turun naik. Menahan rasa marah dan terkejut barangkali. Mungkin tidak sangka Syafiqah senekad itu.

"Saya tak main-main. Saya tengah serius ni dan saya nak minta maaf sangat kat awak."

"Kenapa tiba-tiba je? Takde ribut, takde angin, tup tup awak mintak putus. Saya ada buat salah ke?"

"Tak, awak tak salah. Cuma...."

"Cuma apa?"

"Saya dah jatuh cinta dengan yang lain. Jadi saya harap sangat awak lupakan saya. Dan tolonglah maafkan saya."

       Tanpa menunggu jawapan Imran, Syafiqah terus  memutuskan talian. Telefon segera dimatikan.Takut seandainya hati yang ditekadkan tadi berubah. Kejamkah dia? Kejamkah dia kerana melukakan hati seorang lelaki? Ah, masa pasti akan menyembuhkannya.Khali seketika. 'Betulkah tindakan aku ini?' Hatinya berbicara. Buntu rasanya.

        'Ah, tak boleh jadi ni. Nampaknya aku kena consult dengan 'kekasih'ku ni.' Lantas, Syafiqah pun bangun dan menuju ke kamar mandi.

(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)?(^_^)(^_^)(^_^)


"Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku ini dalam addin-Mu. Sucikanlah hatiku dan jiwaku yang kotor ini. Limpahkanlah taufiq dan inayah-Mu. Janganlah Engkau palingkan nur hidayah-Mu daripadaku.

Ya Allah, teguhkanlah imanku,
Tanamkan kecintaan yang kukuh kepada-Mu,
Hadirkanlah rasa rindu dalam jiwaku ini untuk mengecap redha-Mu,
Ya Allah, terbitkanlah rasa kasih kepada syariat-Mu dalam diriku ini.

Ya Allah yang Maha Pengasih,selama ini aku alpa ya Allah. Aku lebih mengasihi makhluk-Mu dan mengabaikan-Mu padahal Kau tak pernah lupakan aku. Aku khilaf ya Allah.  Aku telah sia-siakan kasih sayang-Mu ya Allah."

         Usai berdoa, Syafiqah menangis sepuas-puasnya. Betapa selama ini dia lalai dan leka  dengan dunia sekelilingnya. Dia lupa pada Allah. Bukannya dia tak solat dan tak puasa. Ya, solatnya  cukup lima waktu. Namun pengisiannya kosong. Jasad di atas tikar sejadah tapi fikiran melayang. Sekadar memenuhi syarat sahaja. Kini Syafiqah sedar akan kekhilafannya. Mungkin inilah hikmahnya Ramadhan pada tahun ini. Alhamdulillah, Allah masih sayangkan Syafiqah.

          Perasaannya yang berbaur tadi kini semakin tenang. Memang betullah kata orang, ketenangan itu akan datang apabila kita mengingati-Nya. Telekungnya dibuka dan dilipat.Lalu,  dia memutuskan untuk menulis surat kepada Imran.


(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)(^_^)?(^_^)(^_^)(^_^)


Gugur air mata Imran selepas membaca surat daripada Syafiqah itu. Dia terkelu. Tak sangka Syafiqah akan berubah sedemikian. Imran membaca lagi surat itu.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

       Pertama sekali, saya ingin meminta maaf kerana memutuskan hubungan dengan awak. Itupun melalui telefon. Saya tahu, mesti awak terkejut, marah dan hampir naik hantu bila saya mintak putus. Mungkin awak menganggap saya perempuan yang memungkiri janji. Saya memang sayangkan awak, tapi saya dah terlanjur jatuh cinta dengan yang lain. Nak tahu siapa? Dialah pencipta saya dan awak, yang dah lama saya abaikan.

Saya tak sangkal, awak memang baik,
Selalu jaga saya, tolong saya,
Bila saya susah, awaklah orang pertama yang hulurkan tangan,
Kalau saya sedih, awak akan hiburkan saya,
Tapi kan, Dia langsung tak pernah tinggalkan saya,
Sentiasa menjaga dan mengawasi saya 24 jam,
Tak pernah pun Dia rasa penat,
Kalau saya susah, Dia selalu ada dengan saya,
Siap tunjukkan jalan keluar lagi,
Tapi bila senang,saya selalu lupa balik pada Dia,
Saya tinggalkan Dia, abaikan Dia,
Tapi apapun yang saya buat, Dia tak pernah lupakan saya,
Buktinya, Dia tetap nak terima saya.
Saya tak sangkal, awak memang pemurah,
Selalu belikan hadiah untuk saya,
Selalu belanja saya kat restoran mahal-mahal,
Celebrate birthday saya lagi,
Tapi kan awak, Dia lagi pemurah,
Dia bagi saya mata untuk melihat, telinga untuk mendengar,
Mulut untuk berkata-kata, hidung untuk menghidu,
Dia tak pernah kedekut nak bagi rezeki pada saya,
Dari saya kecik sampailah saya besar,
Walaupun saya tak pernah minta,
Tapi tak pernah pun Dia minta balasan.

   Jadi, saya harap awak faham akan keadaan saya. Saya dah lama tinggalkan Dia. Sekarang saya tak nak sia-siakan kasih Dia pada saya lagi.Terus-terang saya katakan, saya memang sayangkan awak, tapi buat masa ni,saya nak fokus pada Dia. Kalaulah awak jodoh saya, insyaAllah kita akan bertemu di jinjang pelamin. Maafkan saya sekali lagi.
Ikhlas,
Syafiqah


  

0 ulasan:

Catat Ulasan

Recent Comments

 
;