Selasa, 20 November 2012

Relevankah Sains dalam Islam? I

Assalamualaikum.

Apabila disebut tentang sains, apakah perkara pertama yang terlintas di minda? Sudah tentu makmal penyelidikan, mikroskop, saintis, dan perkara yang sewaktu dengannya terlintas di minda. Kerana kita sudah terbiasa dengan norma sebegitu. Sedari kita berada di bangku sekolah lagi, kita telah diajar konsep sebegini. Sains dan Pendidikan Islam adalah dua subjek yang berbeza, tidak boleh dicampur adukkan. 


Jadi, adakah kita perlu memisahkan sains daripada Islam? Sedangkan Islam adalah cara hidup dan pegangan kita, manakala sains pula merupakan sunnatullah, iaitu hukum-hukum alam yang telah ditetapkan oleh Allah untuk alam semesta ini. Jawapannya semestinya tidak boleh kerana Allah sendiri telah menunjukkan perkaitan antara sains dan Islam itu sendiri. 


Firman Allah s.w.t : 


Katakanlah,”Berjalanlah di bumi, maka perhatikanlah bagaimana (Allah) memulai penciptaan (makhluk), kemudian Allah menjadikan kejadian yang akhir. Sungguh, Allah Maha Berkuasa atas sesuatu. 


(Al-Ankabut 29: 20) 


Jika kita hayati ayat ini, Allah menyuruh kita untuk memerhatikan kejadian makhluk. Nah, bukankah pada hari ini, para saintis dan golongan cendekiawan mengkaji tentang embriologi, iaitu tentang perkembangan janin di dalam rahim? Penemuan demi penemuan telah diwar-warkan, dan telah direkodkan. Namun, tahukah kita bahawa fakta itu telah terbongkar sejak lebih 1400 tahun yang dahulu? 

Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah. (Pati yang berasal dari tanah, ialah pati makanan yang berasal dari tumbuh-tumbuhan dan tanaman yang tumbuh di bumi).Kemudian Kami jadikan pati itu setitis air benih (air mani), pada tempat penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa ketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya (keadaannya yang asal serta ditiupkan roh padanya). Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik baik Pencipta. 

(Al-Mukminun 23 :12-14) 


Perkembangan janin mengikut minggu


Sepertimana yang kita ketahui, Islam adalah ad-din yang syumul (lengkap dan sempurna) dan merangkumi segala aspek kehidupan. Ini termasuklah bidang sains yang juga banyak mempunyai banyak cabang dan aspek. Antaranya adalah dalam bidang perubatan itu sendiri, sains pemakanan, perindustrian (bahan-bahan kimia, logam dan sebagainya), kejuruteraan, geologi dan pelbagai lagi cabang yang lain. 

Islam tidak dapat dilihat secara berasingan di antara satu sama lain. Ia diibaratkan seperti bangunan yang tidak dapat berdiri teguh sekiranya tiada tiang ataupun tiada dinding yang kuat. Sains itu adalah salah satu elemen dalam Islam. Oleh itu, tidak sepatutnya timbul isu bahawa sains dan Islam adalah dua perkara yang berbeza. Namun, sejauh manakah sains ini relevan dalam Islam? Bagaimana praktikalnya dalam kehidupan kita seharian kita? 


Rasulullah pun mempraktikkan sains 


Percaya ataupun tidak, Rasulullah S.A.W sendiri mempraktikkan sains itu sendiri dalam kehidupan seharian baginda. Baginda amat menitikberatkan soal kebersihan. Kajian telah membuktikan bahawa kebanyakan penyakit berjangkit tersebar luas melalui persentuhan tangan, air dan makanan yang terdedah kepada pelbagai bakteria seperti Vibrio haemolyticus yang menyebabkan taun. 

Menjaga kebersihan 

Disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan dari Salman, ia berkata : 


“Saya membaca dalam Taurat bahawa “keberkatan makanan adalah dengan wuduk setelah memakannya.” Serta-merta saya menyebut hal itu kepada Nabi S.A.W dan saya beritahukan kepada baginda apa yang saya baca di dalam Taurat tersebut. Baginda bersabda : “Keberkatan makanan adalah berwuduk sebelum (memakan)nya dan wuduk setelah (memakan)nya.” 


Wuduk dalam konteks ini bukanlah bermaksud wuduk yang biasa dilakukan sebelum solat ataupun memegang Al-Quran. Tetapi wuduk di sini adalah dengan membasuh kedua-dua tangan dan mulut. Ini adalah antara sunnah Nabi. 


Dalam kehidupan seharian kita, kita banyak menggunakan tangan untuk melakukan aktiviti-aktiviti rutin. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya sedang membawa pelbagai jenis kuman dan bakteria bersama kita! Oleh itu, bagi mengelakkan sebarang penyakit yang boleh membahayakan diri, kita disarankan untuk membasuh tangan sebelum dan selepas makan. Bukankah kita telah disyorkan oleh institusi kesihatan untuk mempraktikkan 7 langkah mencuci tangan? 


Selain itu, Rasulullah S.A.W juga amat menitikberatkan soal istinjak. Hal ini kerana salah satu punca penyakit juga adalah kerana kurang mengambil berat soal istinjak dan kebersihan tangan setelah selesai membuang air terutamanya pada orang-orang yang menyediakan makanan. 


Antara bakteria yang boleh menjangkiti manusia melalui tangan yang tidak dicuci dengan bersih adalah Entamoeba histolytica dan Giardia lamblia. Jangkitan ini boleh menyebabkan diarhea dan mungkin juga menyebabkan disentri. 

Diriwayatkan dari Abdullah bin Abu Qatadah dari ayahnya bahawasanya Nabi S.A.W bersabda : 


“Jika salah seorang dari kamu kencing, maka hendaklah ia tidak menyentuh kemaluannya dengan tangan kanannya, dan jika ia masuk tandas, maka hendaklah ia tidak cebok dengan tangan kanannya, lalu ia minum, hendaklah ia tidak bernafas di dalam bekas minuman.” 

Adab ketika minum 


Credit

Imam Muslim dan penyusun kitab Sunan (Abu Dawud, A-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Al-Baihaqi) menyebut hadis yang diriwayatkan Ashim dari Anas : 


Nabi S.A.W mengambil nafas tiga kali sewaktu minuman (dan tidak bernafas di dalam bekas minuman), kemudian bersabda,”Air itu paling segar, paling bermanfaat, dan paling menyembuhkan.” 

Di sini, Rasulullah sering mengamalkan mengambil nafas sewaktu minum dan tidak bernafas di dalam bekas minuman. Hal ini kerana air dan udara (untuk pernafasan) tidak boleh masuk bersama. Jika diteliti semula anatomi manusia, posisi pharynx dan esofagus (laluan air dan makanan) adalah di hadapan larynx dan throat (laluan udara) . Oleh itu, untuk mengelakkan daripada makanan dan minuman masuk ke dalam laluan udara, epiglottis akan menutup laluan udara tersebut ketika kita sedang makan atau minum. 


Namun begitu, sesetengah orang lebih suka untuk meneguk air secara sekaligus. Orang yang melakukan hal ini akan menghentikan nafasnya dalam jangka masa yang panjang. Hal ini akan menyebabkan tekanan udara di dalam paru-paru menjadi tinggi, lalu mulai menekan dinding dasar paru-paru. Lama-kelamaan, paru-paru mula melebar dan akan mula kehilangan sifat elastiknya. 

Sifat elastik yang ada pada paru-paru amat penting untuk mengembalikan paru-paru pada saiz asalnya. Sekiranya sifat ini mula hilang, lama-kelamaan paru-paru akan mula membengkak. Hal ini dapat dilihat pada orang yang menjadikan minum sekali teguk sebagai kebiasaan. 


Mereka akan mengalami dypsnea (sesak nafas) apabila melakukan aktiviti fizikal walaupun aktiviti tersebut dianggap ringan. Paru-paru yang membengkak ini juga boleh menekan jantung yang terletak di antara kedua-dua paru-paru ini. Oleh itu, fungsi jantung juga akan turut terjejas. 


Bersikap sederhana dalam pemakanan 

Diriwayatkan dari Tarmizi, Ahmad, Ibn Majah dan An-Nasai, Rasulullah S.A.W bersabda : 


“Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya juga maka satu pertiga untuk makanannya satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” 


Kekenyangan yang terlampau boleh membawa padah. Ia boleh mengundang rasa malas untuk beribadah dan juga boleh menyebabkan hawa nafsu bergelora. Selain itu, ia juga boleh menjejaskan kesihatan kita. Oleh itu, Rasulullah sering bersederhana dalam pemakanan baginda. 

Pendapat Ibn Qaiyim al-Jauziyah di dalam kitabnya, At-Tib an-Nabawi : 


“Sesungguhnya perut apabila dipenuhi dengan makanan menyempitkan ruang untuk minuman dan sekiranya perut itu dipenuhi oleh minuman, ia menyempitkan ruang untuk bernafas dan ketika itu ia terdedah kepada kesakitan dan keletihan. Keadaannya masa itu tidak ubah seperti seorang yang terpaksa memikul barang yang berat. Hal ini menyebabkan kerosakan hati dan mendatangkan kemalasan beribadah. Pada masa itu, nafsu syahwat berkobar-kobar dan inilah yang sering berlaku apabila kekenyangan menyerang seseorang. Sekiranya hal ini berterusan, ia pasti memudaratkan tetapi andai kata kekenyangan ini berlaku hanya sekali-sekala maka tidak mengapalah.” 

Berbaring mengiring ke kanan 


Pelbagai posisi tidur

Terdapat pelbagai gaya tidur yang kita amalkan. Antaranya adalah secara menelentang, meniarap, mengiring ke kiri atau ke kanan dan sebagainya. Sepertimana yang kita ketahui, Rasulullah mengamalkan tidur secara mengiring ke kanan. Baginda melarang kita daripada tidur secara meniarap. Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., katanya : 

“Rasulullah s.a.w melihat seorang lelaki tidur di masjid dengan kedudukan meniarap, menelungkupkan wajahnya, maka baginda pun berseru, menegur : Ini adalah kedudukan tidur yang dibenci Allah dan Rasul-Nya.” 


Apakah rahsia di sebalik larangan Rasulullah ini? Hasil kajian yang dibuat, Dr.Zhafir al-Aththar telah menemukan bahawa orang yang tidur meniarap akan merasakan sesak nafas selepas beberapa saat. Hal ini kerana tumpuan berat tulang punggung menghalangi dada untuk mengembang dan menyusut apabila bernafas. Kesulitan bernafas ini juga boleh menjejaskan fungsi jantung dan otak. Selain itu, posisi tidur sebegini juga akan menyebabkan berlakunya pergeseran organ-organ reproduksi dengan tempat tidur , sehingga mendorong berlakunya onani (masturbasi). 


Bagaimana pula kedudukan tidur yang biasa diambil Rasulullah s.a.w? Kebiasaannya, baginda tidur mrngiring di atas lambung kanannya, dengan kedua-dua betisnya sedikit ditekuk. Tangan kanan pula diletakkan di bawah pipi, sambil menghadap arah kiblat. Kajian yang telah dilakukan oleh Goltech dan Potsech menunjukkan bahawa masa yang diambil untuk makanan yang telah dihadam untuk sampai ke usus adalah antara 2-5 jam sekiranya kita mengamalkan tidur mengiring. Sebaliknya, bagi yang tidur mengiring ke kiri, masa yang diambil adalah 5-8 jam lamanya. 


Tambahan pula, tidur mengiring ke kanan adalah posisi tidur yang sihat. Tekanan ke atas jantung yang terletak di antara kedua-dua paru-paru adalah kecil berbanding mereka yang tidur mengiring ke kiri. Hal ini kerana paru-paru sebelah kiri adalah lebih kecil berbanding paru-paru sebelah kanan. Posisi tidur ini juga adalah cara yang paling mudah untuk mengosongkan makanan yang ada di dalam perut setelah dicerna. 


Jadi, adakah sains itu relevan dalam Islam? Lihatlah sekeliling kita. Hayatilah. Subhanallah. Cantiknya sains Allah. =)

Wallahua'lam.

Rujukan :

1. Kertas kerja :
Prof. Dato’ Dr. Kamaruzaman Wan Su, Kronologi sistem perubatan islam Konvensyen Hospital Mesra Ibadah, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bahru, Kelantan, 16-17 Okt. 2011.

2. Roziah Sidik @ Mat Sidek, Relevansi faktor kegemilangan sains islam dengan dunia islam masa kini, Jurnal Al-Tamaddun Bil. 7(1) 2012, 1-13

3. Dr. Danial Zainal Abidin, Perubatan Islam dan bukti sains moden (Edisi Pertama), PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2010, 21-32,

4. Dr. Danial Zainal Abidin, Sains Islam dan sains barat, 12 ¸2011 http://www.iluvislam.com/tazkirah/sains-a-islam/2616-sains-islam-dan-sains-barat.html

Gambar-gambar diperoleh daripada :

1) Near East Collection :Illuminated Islamic Manuscripts di http://www.library.yale.edu/neareast/exhibitions/exhibit20071.html

2) http://www.payvand.com/news/07/jul/1299.html

0 ulasan:

Catat Ulasan

Recent Comments

 
;